Khamis, 20 Mac 2014

lagi bicaramu abah


Ketika aku melangkah keluar rumah aku melihat kelibat abah di sebalik pokok durian yang berada betul-betul di belakang rumah kami. Aku tersenyum melihat abah yang sedang ralik mencangkul anak-anak pokok di semak itu. itulah rutin abah setiap kali ke kebun. Tidak pernah aku nampak dia hanya duduk di rumah kecuali ada yang tidak kena dengan kesihatannya. Pernah sekali tu abahku jatuh sakit. Lukanya tak nampak dengan mata kasar tapi cukup menderita bila melihat caranya berjalan. Sekejap sahaja abah mampu berdiri dan yang selebihnya dia banyak duduk bagi menghilangkan sekejap sakit yang datang menjengah lututnya. Usianya boleh dikatakan tua tapi tidak sesuai untuk dia menderita begitu. 53 tahun bukan satu kayu ukur untuk manusia sentiasa sihat sebaliknya pada usia beginilah penyakit akan sentiasa menyapa.
Abah tidak perasan aku mengekorinya ke kolam yang terletak agak jauh dari rumah kami. Aku mengekori abah dari belakang dari jarak yang agak jauh. Niat di hati mahu mengejutkan abah nanti. Maklumlah aku ni memang suka bergurau lagi-lagi dengan abah aku. Bila abah berhenti aku turut berhenti sehinggalah abah berpaling ke belakang dan membuatkan aku terkejut. Nampaknya niatku bertukar arah. Aku tergelak melihat respons ayahku yang sedikit pun tidak terkejut melihat aku mengekorinya. Manakan tidak, taktik aku itu sudah lapuk agaknya. Sampai dia boleh tahu yang aku ada dibelakangnya. Aku mendekati abah tapi abah buat tak hairan pun padaku. Dia meneruskan kerjanya membuang anak-anak pokok yang sudah semakin dewasa itu. Takut-takut kalau ia menjadi semak samun. Susah pula nak membuangnya nanti. Aku memerhatikan kerja abah. Aku mula bertanya kepada abah sebagai satu bualan bagi memecah kesunyian di antara kami.
“Abah ni susah nak ada di rumah kan? Selebihnya mesti di kebun. Apa yang best sangat di kebun ni abah?”
Aku bertanya sambil mengumpul anak-anak pokok yang sudah dicangkul itu untuk dibakar. Aku melihat abah meneruskan kerjanya sambil memulakan bicara.
“Seronok…Bila dekat dengan alam ciptaan Allah ni rasa tenang sangat. Lupa masalah rumah tu sekejap lagi-lagi bila abah bagi makan ikan-ikan dalam kolam ni. Lagipun dekat kebun ni macam-macam kita boleh buat. Tengok tu Nani, pokok di hujung kolam tu. Ubi kayu tu kalau kita tak tanam macam mana nak makan ubi kayu yang awok suka sangat tu. Untung berbudi dengan tanah ni Nani. Awok kena ingat nanti. Jangan hina orang petani ni. Mereka tu banyak berjasa pada manusia”.
Panjang huraiannya. Tapi tak pernah jemu telinga ku mendengar setiap bait kata-katanya.
Aku mendengar kata-kata nasihat dari abah yang bagi aku sangat bermakna. Insya-Allah aku akan jadikan teladan dan panduan..
Pesanan penaja
“sayangilah ayah, abah, abi, dady atau apa saja panggilan anda, kerana mereka begitu berharga”
(^_^)

Pertanian itu adalah perniagaan..

Bicaramu Abah


Dalam menunggu hujan berhenti mencurah ke bumi aku sempat berborak-borak dengan abahku di ruang tamu rumah baru. Ayah memulakan bicara dengan mengatakan suasana hujan seperti ini mengingatkannya kepada kenangan dulu-dulu.
“Bila hujan-hujan macam ini, abah teringat masa abah kecil-kecil dahulu.”
Mendengar bicara abah itu membuatkan aku teruja untuk mendengar ceritanya itu. aku tersenyum lebar melihat abah aku mula berbicara dan cuba bertanya tentang kenangannya itu. Seperti biasa bualan abah sering membuat aku berfikir dan cuba membayangkan setiap detik yang diceritakannya kepada aku. Ada kalanya cerita-ceritanya membuat aku sedih dan menangis. Kali ini aku ingin mendengarnya lagi. Mungkin ada yang dapat aku jadikan pedoman dalam hidup aku nanti.
“Kenapa abah kata teringat kenangan dulu? Apa yang berlaku bila hujan abah? “
Aku mula bertanya. seperti kebiasaannya aku ini anak yang banyak bertanya. Lagi-lagi bila ia berkaitan dengan abahku.
“Dulu abah tak bertuah macam awok ni. Kecil-kecil lagi dah kenal kipas angin, dapur gas, lampu elektrik, motor, kereta. Abah dulu semua benda manual. Kalau nak air kena pergi sungai Pahang, itu pun minum mentah je. Sungai Pahang masa itu jernih lagi airnya bukan macam sekarang ini keruh dan kotor. Banyak lagi lah kalau nak cerita pada awok pengalaman abah dulu-dulu.”
Panjang lebar abah menceritakan kisah-kisah dirinya dulu. Walaupun bunyinya seperti serba kekurangan namun abah menceritakannya dalam nada yang ceria, ia membuatkan aku terfikir dan mengelamun dalam membayangkan suasananya itu. ayah menyambung lagi ceritanya. Dan aku sedia mendengar dengar penuh rasa ingin tahu.
“Kalau masa hujan pula, abah dengan adik-beradik mesti sayu je melihat titisan air hujan yang menitik-nitik ke lantai rumah kami yang diperbuat daripada papan. Atapnya pula hanya dari pelepah rumbia. Kami cepat-cepat mencari bekas atau jeluk untuk menadah titisan air itu. takut-takut kalau airnya semakin banyak, susah pula nak menunggu ia kering.”
“Habis ,macam mana nak tidur abah?”
Aku bertanya lagi tetapi bicara abah semakin perlahan, membuatkan aku seolah-olah berada di sana iaitu di dalam kenangannya.
“Tunggu sampai hujan berhentilah. Sebab kami semua tidur di lantai saja. Kami tidur ramai-ramai. Masa tu tak kenal erti bilik sebab bagi kami ruang tamu itulah kami panggil bilik, ruang tamu itulah kami panggil dapur. Serba serbi kebolehan ruang tamu itu. bukan macam zaman awok sekarang, senang lenang kalau nak dibandingkan dengan kehidupan abah dulu. Awok patut rasa bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada awok ni. Jangan lupa pada Dia. Semua ini milik Dia dan bila tiba masanya Dia akan ambil balik.”
Tanpa aku sedar tubir mataku laju mengalirkan mutiara jernih yang tidak ku undang namun ia mengalir sendiri seolah-olah ia memahami bait-bait kata dari ayahku. Insya-Allah aku akan jadikan ceritamu ini wahai abah sebagai pedoman hidupku dalam menempuh hari-hari mendatang.
Pesanan penaja “
sayangilah ayah,abah,abi,dady atau apa saja panggilan anda, kerana mereka begitu berharga”
(^_^)